Rabu, 8 Ogos 2012

seni lidah jiwa

Bismillah.

Kalau ikutkan, saya tersangat exausted-lah sekarang ni. Memandangkan ini bulan Ramadhan, dan saya baru sahaja tiba di rumah di bibir sawah padi yang kontang ini, maka, untuk mengelakkan daripada saya mensia-siakan Ramadhan ini dengan tidur di siang hari, tulisan inilah yang menjadi saksi saya sedang menahan nafsu tidur sekarang ini. Oh...


***

Seketika saya berangan di hadapan skrin ini memikirkan apa yang ingin direndakan 26 abjad ini, saya membayangkan, apakah jika saya ingin menganjurkan sebuah konsert di universiti saya, yang mana artis yang akan berada di atas pentas ialah seperti Bunkface, Malique ex-Too Phat, Altimet, Hujan, M.Nasir... Oh, mungkin juga boleh jemput Pyanhabib, Meor Yusuf dan seangkatannya, adakah tindakan saya ini akan dibantah oleh mereka-mereka yang dikenali sebagai 'otai' Islamis? Bajet lah =.=

Bagi saya, saya ada alasan tersendiri untuk mengadakan konsert ini (walaupun hakikatnya takkan, haha). Daripada menjemput kumpulan artis yang akan menyanyikan nasyid-nasyid cinta, adalah lebih baik saya layan lagu Perang Dah Tamat, Malique. Bukanlah merendahkan nasyid-nasyid cinta yang dihasilkan, tetapi bagi saya mesej yang ingin di bawa lewat tiap-tiap karya itu. Sejujurnya, saya lebih suka lirik-lirik yang lebih kelihatan rapat dengan realiti sosial masyarakat ketika ini. Karya yang menyedarkan, membangkitkan semangat, memujuk dan mengancam adalah lebih bermanfaat daripada karya yang berbentuk membelai.

Malik Bennabi, seorang tokoh reformis Islam yang berasal dari Algeria, menaakulkan bahawa kebangkitan sosial, filsafat, peradaban, sastera dan agama perlu ditangani dan diasaskan bagi pembentukan sesebuah tamadun. Nah, dalam kontek 'seni' yang saya sedang ketengahkan sekarang, apa macam bentuk karya ataupun seni, semua ini adalah alat yang akan mempengaruhi minda dan laku pendengar/pembaca. Maka, perlulah para penggiat seni ini menghasilkan karya yang lebih jujur dan lebih berbentuk satu pencerahan.

Berbalik kepada konsert yang saya bayangkan itu, bertemakan pencerahan, walaupun tiada kopiah di sana, bagi saya tak salah menggunakan cara konsert yang dilihat sebagai 'liar' di sisi 'mereka'. Agar konsert tersebut tidak dilihat sebagai satu aktiviti yang melalaikan, disiplin perlu juga dijaga. Nak melalak bersama Bunkface, teruskanlah, tapi biar berbatas, dan yang paling penting ialah penghayatan terhadap apa yang penggiat seni ingin sampaikan kepada kita.

Adapun seni, bagi Frank Cizek ialah sebagai satu peranan ekspresi bebas dalam pendidikan.



 Puisi tidak mungkin boleh menggantikan sepinggan nasi. Tapi kenyataan hari ini manusia bukan hanya berjuang untuk sepinggan nasi tapi berjuang untuk hak menyuap nasi di pinggan. -Wahyudi Yunus, Jalan Telawi



 *Dan saya lebih selesa dengan lagu Soldier daripada Bunkface berbanding lagu Hamba-Mu, Imam Muda dan Akhil Hayy.



***

Alhamdulillah, sudah tiba masa untuk saya berhenti menghadap komputer riba lama ini memandangkan sekarang merupakan jam untuk menyediakan makanan untuk berbuka.  Apapun, hari ini, walaupun letih baru pulang dari program, saya berjaya untuk tidak habiskan masa saya dengan tidur siang hari. Hehe. Salam Ramadhan yang berkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan