Selasa, 24 April 2012

Poli Tikus

Alkisah, telah dinaqalkan, seekor tikus penguasa negara, turun padang ke sebuah daerah yang dikatakan paling miskin antara daerah-daerah penguasaannya. Sebuah daerah dimana tikus-tikus yang asyik mengemis kerjanya. Mengemis royalti, meminta subsidi. Namun begitu, tikus-tikus ini tidak jemu menjalankan tuntut biarpun dikatakan tidak mengenang jasa dan ingkar titah sang penguasa. Apa yang tikus-tikus peleseran ini tahu mereka harus menegakkan hak mereka selaku jelata di negara itu.

Khabar bahawa sang penguasa berjiwa jelata itu bakal turun padang dipanjangkan kepada pegawai-pegawai di daerah miskin itu. Maka persiapan disusun rapi bagi menyambut sang penguasa itu. Bermula lah tugas pegawai tikus itu dengan hanya tujuan yang satu, iaitu semua yang dirangka mesti di tuju.

Di suatu sudut,

"Hidangan siapakah ini? Untuk tamu istimewa itu kah?" tanya seekor awak-awak tikus 
"Iya," jawab si pegawai
"Kenapa harus mewah sebegini rupa? Bukankah sang penguasa menyuruh jelata berjimat kerana keadaan ekonomi negara yang tidak sekata?"

Si pegawai tikus itu memberikan satu jawapan yang bijaksana dan logik difikir akal naif itu. Puas dengan jawapan pegawai itu, lalu si tikus yang bertanya itu tersenyum sambil beredar menyambung kerjanya

"KahKahKahKah!" gegak gempita ketawa si pegawai tikus dan sekutunya.


***

Tiba di acara bersama jelata, pegawai tikus seperti biasa menjalankan rutin tugasnya tanpa disuruh sang penguasa. Jelata diberi modal tanya untuk dilontarkan pada acara jawab balas antara penguasa dan jelata. Modalnya harus berkisarkan masalah jelata dan wajibnya yang tidak menjerat pihak penguasa.

Maka tibalah acara jawab balas itu, acara yang menjadi mercu keperihatinan sang penguasa terhadap jelatanya.

Setelah sekalian tanya, maka tampillah seekor tikus kampung ini yang dalam dadanya penuh dengan sebak.

"Tuan, kiranya bagaimana keadaan jejambat yang menghubungkan Kampung Pekan Pasiran dengan Kampung Lembah Kubang itu ya? Sudah separuh dekad belum juga kami rasa. Jalan sesak tuan, sukar saya mahu berulang alik ke seberang untuk bekerja."

Ternyata, itu bukan jenis soalan yang dikehendaki penguasa. Senggang beberapa detik, sang penguasa tenang berkata,

"Tahukah sekalian jelata, ekonomi negara bukan seperti yang disangka, bukan seperti yang diminta, bukan seperti yang dirasa. Ada baiknya kita semua cermat dalam belanja dan teruskan kerah tenaga agar hasil pendapatan negara seperti yang dicita. Adapun begitu, atas dasar keperihatinan barisan penguasa, kami sebulat kata akan memberikan $500 kepada sekalian jelata bagi mengurangkan beban semua."


Deruan sorakan dan tepukan deras kedengaran tanda keseronokan jelata.

Usai khabar berita daripada sang penguasa, tirai acara segera dilabuhkan. Jelata pulang dengan penuh gembira dalam dada. Manakala persoalan jejambat dibiar sepi tanpa kata.

Dipihak sang penguasa pula segera dijamu dengan santapan yang tidak pernah dirasa oleh jelata. Mungkin saja keju yang dihidangkan kepada sang penguasa bertaraf $24 juta. Ya lah, penguasa...


***

Itulah gaya tikus sang penguasa. Pembangunan demi pembangunan dirangka dan dibina, namun tetap si tikus jelata hanya menghisap debunya.


Poli Tikus = Banyak Tikus

Tabiat tikus suka menggigit. Walaupun barang yang digigit bukanlah keju bahkan kayu, buku, dan baju turut digigitnya. Bukanlah itu kegemarannya, namun tikus ini menggigit hanya untuk menajamkan giginya agar mudah menikmati keju-keju yang terhidang enak nanti.




5 ulasan:

  1. lastly,jumpe jgk blog ni!
    huh,lame cari..
    (bajet komen sini,blh ka? :D)
    btw,femes kapung ambo tu.
    jomm,kasi cuci ini negara!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. oh, satu kapong dgn mereka upanya :) komuniti tikus

      Padam
  2. kuasa untuk mengurus wang,tikus spesis ini lebih suka wang dari keju.

    BalasPadam