Isnin, 29 Disember 2014

Tugasan Individu


TAJUK: PENYELESAIAN KONFLIK DALAM PERSELISIHAN PENDAPAT PARA SAHABAT: PERBINCANGAN TENTANG ADAB DAN MANUAL  YANG DIAJAR OLEH RASULULLAH S.A.W. KEPADA PARA SAHABAT[1].
Oleh: Rasyidah binti Mat Zin[2]
Pendahuluan
Perbezaan pendapat merupakan sesuatu perkara yang biasa dalam kehidupan manusia. Malah perbezaan pendapat merupakan sebahagian daripada fenomena tabi’i yang boleh melahirkan perkara-perkara yang positif sekiranya dipelihara oleh batas-batas dan adabnya. Perkara yang menjadi perbahasan kini adalah banyak perpecahan yang berlaku dalam dunia hari ini adalah berpunca daripada perbezaan pendapat. Tanpa menafikan, perbezaan dalam berpendapat turut berlaku keatas sesiapa sahaja bahkan telah berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan sahabat, tabi’in, dan para imam mujtahidin daripada kalangan ulama’ Salafus Solehin. Namun, mengapa ia tidak menimbulkan perkara yang negatif seperti yang berlaku keatas ummat pada hari ini? Oleh itu tulisan ini menyoroti sirah Baginda s.a.w dalam menangani perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan sahabat Baginda sendiri serta bagaimana sikap para sahabat apabila berhadapan dengan sebarang perselisihan pendapat.
Dr. Taha Jabir Fayyadh al-Alwani menyebutkan dalam kitabnya “Perbezaan Pendapat dalam Islam” menyebut bahawa diantara penyakit yang paling bahaya menimpa ummat Islam di masa-masa akhir ini adalah penyakit “perselisihan pendapat” iaitu perselisihan pada segala sesuatu dan atas segala sesuatu, sehingga meliputi aqidah, pemikiran, wawasan dan pendapat, disamping perasaan, tindakan, sikap dan perangai bahkan sampai kepada uslub-uslub feqah dan persoalan-persoalan ibadat[3]. Salah satu faktor kemunculan perbezaan pendapat ini di negara kita khususnya, adalah kesedaran rakyat terhadap kepentingan ilmu pengetahuan khususnya ilmu agama, dan perkembangan institusi tinggi awam dan swasta. Hasilnya masyarakat Islam sudah boleh membaca sendiri buku-buku agama malah dengan berkembang biaknya kumpulan-kumpulan kecil khususnya dalam kalangan anak muda yang berdiskusi mengenai topik-topik tertentu, tambahan pula ledakan maklumat dan juga bahan di media sosial menggesa masyarakat awam terdedah dengan wacana yang rencam dan pelbagai.
Islam membenarkan seseorang yang mempunyai kemampuan di dalam lapangan keilmuan untuk membuat kajian dan penyelidikan dalam sesuatu isu yang melanda masyarakat, bahkan Islam menggesa ummatnya mengoptimumkan penggunaan akal fikiran dalam menggarap sesuatu perkara. Oleh yang demikian, Islam mengharapkan agar segala perselisihan pendapat itu tidak sampai mengancam perpaduan ummat, dan supaya diusahakan permuafakatan dan kesatuan pendirian dalam menghadapi persoalan-persoalan besar dan kaedah-kaedah yang asas. Namun apa yang berlaku ialah masyarakat Islam berusaha mendapatkan pengetahuan tetapi kehilangan akhlaknya. Perpecahan berlaku disebabkan pertikaian sesama sendiri dan pertengkaran yang menyebabkan kegagalan dan hilangnya kekuatan. Firman Allah:

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. –al-Anfal:46

Pengertian Ikhtilaf
Ikhtilaf dari segi bahasa membawa maksud tidak ada persepakatan dan persetujuan ke atas sesuatu perkara atau perbezaan pendapat atas sesuatu perkara[4]. Manakala dari segi istilah pula bermaksud seseorang menempuh satu cara yang berbeza daripada orang lain mengenai perilaku atau pendapatnya[5]. Refleksi daripada al-Quran turut menggambarkan perbuatan ikhtilaf yang berlaku seperti:


Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.–Maryam: 37


Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.– Hud: 118


Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, s.a.w). –Adzariaat: 8

Manakala perkataan khilaf yang didefinasikan oleh al-Jurjani dalam kitab al-Ta’rifat[6], tertumpu pada perbahasan yang berlaku diantara pihak yang bertentangan bagi mencari sesuatu kebenaran atau membatalkan sesuatu kebatilan. Terdapat kekeliruan yang berlaku dalam membezakan antara perkataan khilaf dan ikhtilaf. Ikhtilaf berdasarkan dalil dan bukti manakala khilaf tidak berdasarkan dalil dan bukti, sebaliknya melibatkan perbahasan untuk semata-mata keluar daripada berpegang kepada sesuatu pendapat[7]. Kesimpulannya, ikhtilaf berlaku keatas perkara yang diketahui tidak ada kata sepakat keatasnya manakala khilaf adalah melibatkan perbahasan untuk keluar daripada sesuatu pendapat kepada sesuatu pendapat yang lain.

            Rasulullah s.a.w merupakan “role model” bagi setiap insan di muka bumi ini. Sifat universal nabi Muhammad s.a.w yang diutuskan dalam kalangan manusia biasa, menyebabkan sifat dan sikap nabi mampu diteladani menjangkaui rentas agama. Malah, Allah s.w.t turut memperjelaskan bahawa pengutusan nabi ini adalah sebagai rahmat kepada seluruh alam.


Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. –al-Anbiya’:106

Sesuatu perkara yang semulajadi dalam diri manusia yang dikurniakan akal dan fikiran yang berbeza disamping perbezaan warna kulit, bangsa, kebudayaan dan citarasa. Malah dinamika penciptaan manusia sebegini merupakan satu rahmat daripada Allah supaya manusia saling melengkapi, tumpang menumpang, bahu membahu agar mewujudkan suatu komuniti yang rencam. Kesatuan bagi sesuatu komuniti atau ummah yang serba kompleks inilah perlu dibentengi dengan sikap melampaui batas, terutama dalam konteks tulisan ini iaitu berbeza dalam berpendapat. Malah masyarakat perlu sentiasa beradab dan berakhlak dengan akhlak islamiyah supaya perbezaan ini melahirkan suatu yang positif dan merupakan rahmat dalam kehidupan ini. Salah seorang ulama feqah di Madinah pernah mengungkapkan, “Saya merasa taajub dengan kata-kata Umar bin Abd al-Aziz. Saya tidak suka para sahabat yang tidak berikhtilaf. Kerana jika mereka sepakat di atas satu-satu pendapat, sudah tentu orang ramai akan berada dalam kesempitan. Mereka adalah imam-imam yang akan diikuti umat. Sekiranya seseorang berpegang dengan pendapat salah seorang daripada mereka, sudah tentu ia akan berada di dalam keluasan,”[8].

Disebabkan perselisihan merupakan suatu perkara yang tabi’i, maka sudah pastinya perselisihan pendapat ini tidak terlepas daripada turut berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dalam kalangan sahabat. Namun, apabila para sahabat berselisih pendapat terhadap sesuatu perkara, maka mereka segera merujuk Baginda untuk mendapat penjelasan. Bagi sahabat yang berada jauh dari Madinah, mereka berijtihad dan hasil ijtihad mereka menimbulkan perselisihan pendapat. Para sahabat kembali ke Madinah untuk merujuk Baginda s.a.w dan mengemukakan permasalahan-permasalahan hasil ijtihad yang telah dilakukan oleh mereka. Di sini, kita dapat lihat bagaimana reaksi Rasulullah s.a.w, samada menerima dan memperakuinya sehingga menjadi sebahagian daripada sunnah, ataupun Rasulullah menerangkan kepada mereka jawapan yang benar dan tepat sehingga para sahabat berpuas hati dengan penjelasan Baginda.
Di antara contohnya ialah peristiwa berikut:

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda dalam peperangan Ahzab:

“Jangan sembahyang Asar seorangpun melainkan di Bani Quraizah”.

Namun sebahagian  daripada mereka telah mendapati waktu Asar ketika mereka masih dalam perjalanan, lalu berkatalah sebahagian daripada mereka: “Kami tidak akan mengerjakan sembahyang Asar sehingga kami tiba di kampung Bani Quraizah”. Tetapi sebahagian yang lain pula berkata, “Bahkan kami akan mengerjakan sembahyang Asar, dan tidak ada apa-apa salahnya”. Lalu hal yang demikian diberitahu Rasulullah s.a.w. tetapi Baginda tidak mencela sesiapapun di antara mereka.”

Menerusi hadis tersebut, para sahabat Radhiallahu ‘anhum terbahagi kepada dua kelompok berhubung dengan pendirian mereka mengenai pelaksanaan sembahyang Asar: Satu golongan berpegang kepada zahir lafaz manakala satu golongan lagi telah mengeluarkan makna istimbath daripada yang terkandung dalam nas tersebut. Sikap Rasulullah yang membenarkan kedua-dua golongan itu adalah menjadi bukti bahawa pendapat kedua-dua golongan tersebut adalah disyariatkan. Bermaksud, seseorang itu boleh berpegang pada zahir nas dan boleh pula mengistimbathkan makna-makna yang terkandung disebalik periwayatan hadis tersebut. Sehubungan itu, tiada halangan dan celaan keatas kedua-dua pihak yang telah melakukan kesungguhan dalam berijtihad, sekiranya mereka mempunyai keahlian yang diperlukan dalam perkara tersebut. 

Berdasarkan ijtihad kedua-dua golongan sahabat Radhiallahu ‘anhum tadi, golongan pertama memahami bahawa pesanan Rasulullah s.a.w itu bermaksud Baginda menyarankan mereka untuk mempercepatkan perjalanan mereka ke kampung Bani Quraizah. Maka mereka menganggap bahawa sembahyang sebelum tiba di Bani Quraizah bukanlah suatu yang menafikan perintah Rasulullah supaya sembahyang di Bani Quraizah, selagi sembahyang itu tidak melambatkan mereka sampai ke sana. Malah, perbuatan tersebut adalah lebih afdal kerana mengerjakan sembahyang ditengah perjalanan kerana keutamaan yang paling dahulu ialah mengerjakan sembahyang di awal waktu dan menyahut perintah Rasulullah s.a.w.[9] dan sesetengah ulama lain turut berpendapat bahawa afdal untuk menta’khirkan sembahyang di Bani Quraizah.

Rasulullah menyedari hakikat bahawa kelangsungan sebuah kehidupan adalah bergantung kepada kesatuan hati yang berpadu dalam mencintai Allah dan kehancurannya adalah berpunca dari hati mereka yang saling berantakan. Malah fokus utama Rijal al-Dakwah adalah menyeru kepada kesatuan, kebersamaan, dan kekukuhan barisan. Perselisihan akan menimbulkan kerosakan pada hubungan baik sesama saudara dan akan melemahkan agama, umat dan dunia[10]. Dalam surah Ali Imran, ayat ke 105 menunjukkan larangan supaya berlaku perpecahan:

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.”- Ali Imran:105

Oleh yang demikian, Rasulullah seringkali memperingatkan sahabat agar menjauhi perselisihan pendapat yang boleh merosakkan umat. Sabda Baginda,

“Jangan kamu berselisih, nanti berselisih hati kamu.”

Para sahabat yang mulia berusaha untuk tidak berselisih pendapat antara satu sama lain. Oleh itu mereka menghindarkan diri daripada memperbanyakkan soalan dan perincian. Malah mereka menyelesaikan sebarang peristiwa yang berlaku di bawah petunjuk Rasulullah s.a.w. Mereka juga berpendapat bahawa perselisihan pendapat itu tidak membawa kebaikan, sebagaimana ucapan Ibnu Mas’ud Radhiallahu ‘anhum:

“Perselisihan pendapat itu tidak baik.”

Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w merungkai benih-benih perselisihan pendapat itu sebelum ianya menjadi barah bagi umat Islam. Antara manual adab ikhtilaf yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan diajarkan kepada para sahabat apabila berlaku perselisihan pendapat adalah:

1.   Rasulullah menyeru supaya segera mengembalikan perkara yang diperselisihkan itu kepada kitab Allah dan merujuk Baginda sendiri. Rasulullah menjelaskan supaya wajib bagi mereka yang dalam keadaan yang  jahil dan bingung adalah bertanya, bukan cepat-cepat berfatwa walaupun tidak ada ilmu.


Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.-Al-nahl: 43

Telah diriwayatkan Abu Dauddan Ad Daruqutni dari hadis Jabir, :kami telah berpergian dalam satu perjalanan, lalu salah seorang diantara kami telah luka kepalanya kerana ditimpa batu, kemudian ia bermimpi keluar mani, lalu ia bertanya kepada sahabat, “Adakah kamu mendapati rukhsah bagiku untuk bertayammun?” mereka menjawab, “Kami tidak mendapati rikhsah bagimu kerana engkau berkuasa mendapatkan air.” Maka lelaki tersebut mandi, lalu meninggal dunia. Tatkala kami mendatangi Rasulullah s.a.w dan mengkhabarkan yang demikian, Rasulullah berkata:
“Mereka telah membunuhnya, Allah membunuh mereka. Hendaknya mereka bertanya sekiranya mereka tidak tahuy, kerana ubat bagi yang tidak tahu itu adalah bertanya. Sebenarnya memadailah ia bertayammun dan membalut lukanya, dan menyapunya serta membasuh sekalian tubuhnya...”[11].

Rasulullah tidak memaafkan mereka yang menberi fatwa tanpa ilmubahkan mengecam dengan keras tindakan tersebut. Bahkan firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 58 dan 59:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Rasulullah mendidik para sahabat supaya berfatwa dengan ilmu dan mengembalikan sebarang perselisihan kepada al-Quran dan sal-Sunah iaitu dengan merujuk Baginda sendiri. Kadang-kadang berlaku perselisihan pendapat antara sahabat, sehingga terjadi perbincangan untuk mencari kebenaran, namun tidak sampai kepada pertengkaran, perbalahan, tuduh menuduh, caci-mencaci, kerana mereka segera kembali kepada kitab Allah dan Rasulnya s.a.w yang memutuskan sebarang perselisihan pendapat tanpa meninggalkan sebarang kesan yang tidak baik kepada saudaranya.

2.   Rasulullah menetapi sifat taqwa serta menjauhi hawa nafsu dengan menjadikan tujuan perselisihan tersebut adalah untuk mencari kebenaran[12]. Perbezaan pendapat itu merupakan suatu perkara yang tidak boleh dihindari. Penciptaan manusia yang pelbagai keperibadian dan pemikiran yang variasi ini cenderung kepada perselisihan pendapat. Oleh yang demikian Rasulullah memperingati para sahabat supaya menjauhi perselisihan yang tercela iaitu perselisihan yang didorong oleh hawa nafsu. Kemungkinan besar perselisihan pendapat ini lahir daipada keinginan untuk mencapai kepentingan peribadi, atau didorong oleh keinginan untuk menunjuk-nunjuk kelebihan ilmu atau kefahaman masing-masing. Firman Allah:


   Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya? Al-Baqarah: 87.

              Perselisihan seperti ini jauh tersasar daripada punca perbezaan pendapat iaitu lahir dari sumber kebenaran, dorongan ilmu, kehendak akal dan desakan iman. Dorongan hawa nafsu didalam perselisihan inilah yang menjadi racun bagi umat Islam dan merupakan satu penyakit hati yang perlu dihindari oleh seseorang Muslim. Sehubungan itu, wajib keatas Muslim berusaha untuk menghindari daripada menuruti hawa nafsu yang boleh mendorong kepada berlakunya perpecahan umat. Bukankah Allah telah menyebutnya di dalam al-Quran bahawa manusia sememangnya diciptakan berpasang-pasangan, daripada pelbagai bangsa dan kaum, supaya manusia saling berkenal-kenalan. Bahkan Allah menyebut lagi bahawa tiada perbezaan antara hambaNya melainkan taqwa kepadaNya. Malah di dalam surah al-Nahl ayat ke 128, Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

3. Menetapi dengan setia adab Islam dengan memilih kata-kata yang baik serta menghindari kata-kata yang tajam diantara mereka yang berselisih beserta dengan sikap yang baik mendengar pendapat masing-masing. Rasulullah s.a.w mengajar para sahabat tentang adab yang penting diantara adab perselisihan seperti adab dalam membaca al-Quran. Baginda bersabda,

“Bacalah al-Quran selagi hatimu bersatu-padu, bila kamu telah berselisih mengenainya, maka bangunlah kamu.”

Rasulullah s.a.w menyarankan para sahabat untuk memberhentikan bacaan al-Quran ketika mereka berselisih pendapat tentang sesetengah huruf bacaan, atau tentang makna yang dimaksudkan dalam ayat tersebut, sehinggalah hati mereka kembali tenang dan hilang perasaan yang membawa kepada perdebatan dan perbalahan. Apabila hati mereka kembali ikhlas untuk mendalami ilmu, maka mereka boleh meneruskan bacaan tersebut dan memikirkan setta merenung makna-makna ayat al-Quran tersebut dengan suci hati. Begitulah cara Rasulullah mendidik para sahabat untuk sedaya upaya menjaga adab dan akhlak ketika berselisih serta mengutamakan sikap toleransi dan saling menerima pandangan orang lain. Akar kepada perselisihan yang tolerir adalah apabila seseorang melakukan amal perbuatan didasarkan kepada hujjah atau pengetahuan orang sebagai dasar untuk melakukannya tanpa disertai permusuhan dan celaan terhadap orang yang berbeza dengannya[13].

Muhammad al-Ghazali, seorang tradisionalis Islam menyatakan bahawa salah satu cara yang dapat membantu mewujudkan sikap toleransi dan saling menerima pandangan orang lain dalam sebarang persoalan dan perselisihan berkaitan masalah feqah contohnya adalah dengan mengetahui dasar-dasar serta sumber pengambilannya dan memahami bahawa setiap mujtahid dan  ulama’ mempunyai pandangan dan perbahasannya yang masing-masing dan semuanya menyelam dalam lautan syariah yang luas. Perbezaan mereka adalah rahmat manakala persepakatan mereka adalah hujjah[14].

Penutup

Demikianlah panduan yang paling penting dalam menguruskan perselisihan dalam pendapat yang dapat disimpulkan melalui sirah nabi yang menjadi petunjuk dan pedoman bagi umat Islam dalam mengekalkan keharmonian hidup. Lihat sahaja sikap para sahabat radhiallhu ‘anhum seperti Khalifah Abu Bakar yang pernah meminta rakyatnya supaya memperbetulkan tidakannya jika berlaku kesalahan walaupun beliau seorang khalifah ketika itu. Dengan akhlak-akhlak yang pandu oleh nabi Muhammad s.a.w dan kecintaan para sahabat Radhiallahu ‘anhum kepada Baginda telah menjadikan mereka diangkat sebagai “bintang” oleh Baginda. Malang sekali lewat hari ini, ada yang tanpa segan silu menyatakan bahawa pendapatnya sajalah yang paling benar dan paling menepati kehendak syara’. Satu perkara yang umat Islam perlu menyedari bahawa kefahaman seorang insan biasa bukanlah merupakan satu wahyu dan jauh sekali merupakan pendapat yang maksum. Boleh jadi cara seseorang melihat nas itu adakalanya melihat secara literal, ada juga melihat secara maqasid nas seperti yang berlaku keatas sahabat Rasulullah s.a.w dalam peristiwa menentukan bila perlu untuk mereka mengerjakan solat Asar sebagaimana yang telah ditulis pada awal tulisan ini. Banyak dalam kalangan sahabat yang pandangannya berbeza daripada pandangan para sahabat yang lain namun hal ini tidak membatalkan pendapat sahabat yang berbeza itu. Suatu yang penting untuk kita insafi adalah menghapuskan ikhtilaf itu adalah mustahil kerana ikhtilaf itu merupakan suatu keluasan dalam beragama, dan rahmat bagi seluruh umat. Guru kami sentiasa berpesan ketika dalam pembelajaran subjek Ilmu Kalam, selaku penuntut ilmu dan semestinya hanya orang kebiasaan, agar tidak sesekali menolak sesuatu pandangan ulama’ yang dikatakan menyalahi ijma’ sekalipun dengan penolakan secara habis-habisan namun kemudian masa kita yang menegak kembali pandangan-pandangannya. Wallahu’alam.

Bibliografi

al-Alwani, Dr. Taha Jabir Fayyadh. Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam (terj. Haji Muhammad Rivai Batubara). Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Islam, 1989.

al-Azhari, Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani. Adab Ikhtilaf: Formula Mengekalkan Perpaduan Ummah. Kuala Lumpur: al-Hidayah Publication, 2009.

al-Ghazali, Muhammad. Warisan Pemikiran Islam, Menurut Syara' dan Akal(terj.Nur Hadi Ihsan). Kuala Lumpur: Crescent News (K.L) Sdn. Bhd., 2009.

al-Jurjani, Ali bin Muhammad al-Syarif. al-Ta'rifaat. Beirut: Maktabah Lubnan, 1985.

Jarisyah, Dr. Ali. Adab al-Hiwar wa al-Munazarah. Mansoura: Dar al-Wafa', 1989.

Qardhawi, Dr. Yusuf. Fiqh Perbedaan Pendapat Antar Sesama Muslim : Memahami Perbedaan yang dibolehkan dan Perpecahan yang dilarang . Indonesia: Robbani Press, 2008.